8.7.09

Keselamatan Negara Di pertikai???


Kenyataan Media Pemudawilayah: Kehadiran Thaksin di Malaysia jejas imej Keselamatan Negara

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) memandang serius kehadiran bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Sinawatra di Malaysia yang lewat di kesan oleh pihak berkuasa keselamatan negara.

Thaksin dilaporkan mendarat dengan sebuah pesawat peribadinya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dekat sini pukul 5 pagi Sabtu lalu untuk berehat dan mengisi minyak. Beliau dan empat orang pengawal peribadinya dilaporkan turut menginap di Hotel Shangri-La di Jalan Sultan Ismail selama 24 jam.

Kehadiran beliau hanya disedari oleh Polis Malaysia setelah wakil kedutaan Thailand membuat laporan pada hari Ahad, namun gagal menahannya kerana Thaksin dilaporkan telah terbang ke Fiji.

Thaksin merupakan orang yang dikehendaki oleh Kerajaan Thailand yang juga rakan ASEAN Malaysia.

Pemudawilayah melihat isu kehadiran Thaksin yang gagal diketahui oleh pihak berkuasa di Malaysia sebagai satu kecuaian yang amat serius.

Bagaimana beliau boleh mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah? Siapa pegawai trafik udara yang membenarkan pesawat beliau mendarat? Kenapa dia tidak maklumkan Polis?

Siapa pula pegawai Imigresen yang melepaskan beliau untuk keluar dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah? kenapa beliau tidak ditahan disitu?

Siapa pula pemandu kenderaan yang membawanya ulang alik dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ke Shangri-La?

Siapa penyambut tetamu yang menerima tempahan bilik dari pengawal Thaksin? Kenapa mereka tidak maklumkan pada pihak Polis?

Mustahil Thaksin boleh lepas begitu sahaja memandangkan ke semua tempat berkenaan ada CCTV melainkan ada orang yang bersubahat membantunya.

Pemudawilayah melihat perkara ini sebagai memalukan imej keselamatan negara dan Polis dilihat gagal untuk mengesan kehadiran beliau diperingkat awal.

Ketua Polis Negara dan Pengarah Imigresen perlu beri jawapan. Begitu juga dengan Pengurus Hotel Shangri-La.

Pastinya kerajaan Thailand amat kecewa ketika ini dan sukar untuk mereka mempercayai Malaysia kerana insiden ini.

Justeru itu satu tindakan tatatertib perlu diambil pada mereka yang terlibat melepaskan Thaksin sebagai menjaga nama baik negara.

Sistem keselamatan disemua pintu masuk negara perlulah diperketatkan. Sudah banyak pendatang tanpa izin, penjenayah VIP seperti Thaksin yang lepas masuk ke negara ini. Malaysia juga sering dijadikan negara transit bagi aktiviti pemerdagangan manusia dan semua ini masih berlaku walaupun pelbagai janji ditaburkan.

Maka Pemudawilayah menuntut BN mengotakan manifesto mereka pada Pilihanraya lalu iaitu 'Selamat, Aman Makmur' sekaligus menangani isu-isu keselamatan negara keseluruhannya.

Herman Samsudeen
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan



No comments:

Sekitar Demontrasi PPSMI